Search

Sunday, 29 May 2016

Bagaimana Memulakan Bisnes Tanpa Wang ?

Antara alasan orang untuk tidak mula berniaga biasanya adalah "Saya tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan".

Terdapat banyak lagi alasan-alasan lain, tapi ini adalah alasan yang mungkin menduduki tangga pertama.

Saya akan tunjukan 3 cara memulakan perniagaan tanpa modal. Insya-Allah.

Sebelum itu, apabila kita tak ada modal, bermaksud kita tak ada duit lebihan. Jadi kita tak perlu nak malu-malu dengan sesiapa. Perangai malu tak bertempat ini perangai yang memakan kos yang sangat tinggi. Kerana perangai ini akan menyekat pintu rezeki kita.

Kembali kepada topik asal kita, bagaimana memulakan bisnes tanpa wang ?

1. SEDIAKAN PERKHIDMATAN. Apa saja perkhidmatan.

"Tapi perkhidmatan apa ? aku tak tahu buat apa-apa", kata seseorang.

Kalau kita tak tahu buat apa sekalipun, tentu ada sesuatu yang kita tahu buat. Bercakap, menulis, menaip, menaiki motosikal, memandu kereta dan sebagainya.

Gunakan salah satu dari kemahiran yang ada ini dan berikan perkhidmatan kepada orang lain. Mudahkan kerja orang lain, jimatkan masa orang lain dan puaskan hati orang lain. Balasan kepada semua ini adalah wang.

Contohnya

Jika anda boleh menunggang motosikal, mungkin anda boleh pergi kutip bil-bil elektrik, air dan telefon dari setiap rumah dan pergi bayarkan bil itu. Kenakan charge RM 2 untuk setiap bil. Saya yakin orang akan menghargai perkhidmatan anda.

Mudahkan kerja orang, jimatkan masa orang dan puaskan hati orang. Dapatkan duit bagi perkhidmatan anda.

Sebenarnya terdapat banyak peluang dalam semua kemahiran yang kita ada. (Walaupun kita tidak semahir mana)

Untuk berniaga juga, kita perlu bermula dari satu-satu titik. Tidak mungkin orang akan terus melantik anda menjadi pemegang saham terbesar dalam mana-mana syarikat setelah anda membuka mata dari tidur hari ini.

Kita perlu bermula dari satu titik. Titik ini boleh bermula di mana saja dalam apa jua kerja.


2. TAWARKAN PERKHIDMATAN tanpa risiko.

Ini lebih menarik berbanding dengan yang pertama dan ini lebih mencabar dan berisiko. Namun berita baiknya anda tidak perlukan modal untuk mulakan ini.

Tawarkan perkhidmatan anda dengan bayaran balas apabila klien anda mendapat kepuasan atau keuntungan.

Contohnya,

Anda pergi ke satu pejabat, dan anda minta berjumpa dengan ketua pejabat tersebut. Kemudiannya anda tawarkan perkhidmatan anda.

"Saya tawarkan untuk bersihkan pejabat anda ini dengan bayaran RM 300 sebulan, tetapi anda hanya perlu bayar jika anda puas hati. Jika tuan tidak puas hati, tidur perlu bayar."

Jika klien berkata TIDAK : DIA yang rugi, bukan kita.
Jika klien berkata YA : yey yey yey, untung-untung.

Teruskan kaedah yang sama di pejabat-pejabat lain. Ramai yang akan berkata tidak, tetapi terdapat peratusan manusia yang memerlukan dan mencari perkhidmatan ini. Mereka sanggup membayar untuk ini.

3. Menjadi wakil kepada peniaga lain.

Adalah lebih baik jika kita berhubung dengan peniaga lain. Contohnya kita boleh tawarkan untuk meningkatkan jualan dengan menjual barangan peniaga tersebut.

- Menjual pakej pelancongan sebagai wakil kepada agensi pelancongan.
- Menjual kereta sebagai wakil kepada pengedar-pengedar kereta.
- Menjual pakej kursus-kursus sebagai wakil kepada penganjur kursus.
- Menjual pakej pengantin sebagai wakil kepada butik pengantin.
- Menjadi agen untuk kelas-kelas tuisyen.
- Mencari penyewa untuk menyewa rumah yang tidak diduduki.
- Mencari pembeli untuk projek perumahan baru.
- Mencari pelanggan untuk kelab-kelab golf.

Senarai seterusnya boleh difikirkan sendiri oleh usahawan. Kalau malas nak berfikir, anda mungkin lebih sesuai bekerja makan gaji.

Sebagai ejen, kita boleh membuat keuntungan dengan lebih mudah kerana kita mempunyai banyak pilihan yang boleh ditawarkan kepada pelanggan.

Contoh mudah, jika kita ejen kepada penjual kereta, kita mungkin boleh menjual 5-6 jenis jenama kereta yang berlainan berbanding dengan penjual kereta di kedai-kedai kereta baru yang hanya dapat menjual kereta 1 jenama sahaja

Semua ini adalah permulaan satu perniagaan.

Kita akan merasa nikmat berada di rumah setelah kita merantau jauh. Kita akan merasa nikmat makanan setelah kita berbuka puasa. Sama juga dalam perniagaan. Kita akan merasa nikmat hidup senang apabila kita pernah membuat 'perkara-perkara gila' untuk mendapatkan wang.

Kesimpulan. Anda tidak perlukan duit untuk memulakan perniagaan. Sediakan perkhidmatan, tawarkan tawaran perkhidmatan yang menarik dan jadi wakil kepada peniaga lain.

Jangan percaya kepada skim cepat kaya atau MLM. Ini point terakhir.

Terima kasih

Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur

p/s : saya mengalu-alukan pandangan dari pembaca terhadap artikel-artikel yang ditulis. Jika tidak ada pandangan, maka sukar untuk saya membuat peningkataan. Lagipun semangat pun jatuh. he he he.

By Shahabudeen Jalil at Wednesday, November 25, 2009 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...